19 MAC : Kerajaan negeri Pahang telah memberikan kelonggaran kepada aktiviti masjid dan surau di mana sebelum ini hanya kuliah Maghrib dan tazkirah subuh sahaja dibenarkan, namun kini ia diperluaskan meliputi kuliah Dhuha, kuliah sebelum solat Jumaat, kelas al-Quran dan fardu ain.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selain aktiviti itu, turut dibenarkan adalah Kelas Tafaqquh Fid-din anjuran Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang, bacaan Yasin dan tahlil serta jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu.
“Kelonggaran berkenaan telah mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berkuat kuasa hari ini sehingga dimaklumkan kemudian, bergantung kepada keadaan semasa situasi penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Wan Rosdy, kelonggaran itu juga meliputi kehadiran pada majlis akad nikah di masjid dengan mengikut ruang yang ditetapkan berbanding hanya 20 orang sebelum ini, selain kanak-kanak tujuh tahun dan ke atas turut dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat fardu.
“Semoga dengan kelonggaran yang diberikan ini, kita semua dapat kembali beribadah dengan lebih selesa, seterusnya mengimarahkan masjid dan surau kita,” ujarnya dalam kenyataan itu.
Biarpun kerajaan telah memberikan kelonggaran, Wan Rosdy mengingatkan bahawa perkara lain berkaitan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri, hendaklah terus diamalkan.