19 MAC: Pengamal media disaran memainkan peranan sebaiknya dalam menyampaikan berita berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyampaian berita secara bertanggungjawab harus dipratikkan kerana membabitkan kepentingan masa depan rakyat dan negara.
“Kementerian Kesihatan KKM memohon pengamal media supaya lebih berhati-hati dalam melaporkan berita berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Pemberian vaksin yang sedang giat dijalankan di seluruh negara adalah usaha untuk mengawal penularan pandemik COVID-19, justeru pelaporan berita tidak tepat, apatah tidak benar boleh kelancaran keseluruhan pelaksanaan program,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, apa diharapkan, pengamal media dapat melaporkan berita yang tepat, sahih dan mendapat pengesahan KKM terlebih dahulu, terutamanya membabitkan isu sensitif.
“Kerjasama baik di antara pengamal media dan semua agensi terbabit dalam PICK ini diharap dapat diteruskan bagi memastikan kejayaan program,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Dr Noor Hisham melahirkan penghargaan ke atas peranan dimainkan pengamal media dalam menangani pelbagai isu, terutama sepanjang pandemik COVID-19.
“Dengan kerjasama erat di antara KKM, pengamal dan agensi, perkembangan semasa COVID-19 dapat disampaikan kepada rakyat dengan cepat, tepat dan meluas,” katanya.