19 MAC : Sebanyak RM5 juta peruntukan untuk untuk projek berskala kecil dan baik pulih infrastruktur di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang (MPS), telah diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), demikian jelas Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Menurut beliau, peruntukan ini termasuk untuk membina dan menaik taraf beberapa medan selera di Sepang serta keperluan menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur kawasan pelancongan dalam usaha menarik kedatangan pelancong apabila pandemik COVID-19 reda.
“Ini merupakan fokus KPKT apabila turun padang kerana kita mahu beri peruntukan yang akan membantu peniaga tempatan memulakan perniagaan dan meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke kawasan MPS dan Pangsapuri Kenanga, Putra Perdana, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar) KPKT, Datuk Azhar Ahmad dan Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Hamid Hussain.
Zuraida berkata, KPKT juga telah bersetuju meluluskan peruntukan RM1.5 juta bagi kerja mengecat 16 blok bangunan di kawasan perumahan terbabit dan sebanyak RM600,000 untuk membaik pulih jalan berlubang di sekitar pangsapuri tersebut.