19 MAC: Malaysia tidak perlu melayan tindakan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana langkah itu tidak memberi apa-apa kesan kepada negara ini.
Pakar Geostrategis, Prof Madya Dr Azmi Hasan, berkata sebaliknya kesan besar tindakan itu akan dihadapi Korea Utara sendiri, memandangkan negara berkenaan yang sebenarnya memerlukan Malaysia bagi menjaga persepsi pihak luar terhadapnya.
“Dalam hal hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang, Korea Utara lebih memerlukan Malaysia kerana daripada aspek persepsi antarabangsa, mereka boleh tunjuk mereka ada hubungan dengan negara luar, jadi bila mereka putuskan hubungan dengan kita, mereka lebih rugi, bukan kita.
“Lagipun hubungan Malaysia dan Korea Utara sudah berada pada peringkat paling rendah sekali sejak kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di negara ini, jadi persoalan apakah akan ada kesan terhadap Malaysia apabila negara itu memutuskannya, bagi saya tidak ada langsung kesan.
“Aktiviti ekonomi Malaysia dan Korea Utara memang tak ada langsung pun, cuma dulu kita ada membeli sikit arang batu, tapi selepas kes pembunuhan Jong-nam kita tiada berurus dagang,” katanya ketika dihubungi PN BBC.
Korea Utara dalam satu kenyataan, hari ini mengesahkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana menganggap negara ini sudah melakukan ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ dan menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke AS secara paksaan.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Malaysia akan menanggung tanggungjawab penuh terhadap kesemua akibat yang bakal berlaku antara dua negara ini.
Azmi berkata, beliau berpendapat Wisma Putra tidak perlu mengeluarkan sebarang respon berhubung tindakan Korea Utara itu supaya isu terbabit tidak diperbesarkan.
Katanya, antara tujuan Korea Utara berbuat demikian adalah bagi mencari ‘publisiti’ dan ‘perhatian’ supaya tindakannya itu menjadi isu antarabangsa.
Beliau berkata, tindakan diputuskan Korea Utara ke atas Malaysia itu juga, sebenarnya bersifat berlapik-lapik bagi menutup keaiban mereka selepas perundangan Malaysia membuat keputusan bahawa seorang rakyatnya yang menetap di negara ini bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
“Amaran Korea Utara yang menyebut pihak berkuasa Malaysia akan menanggung tanggungjawab penuh terhadap akibat bakal berlaku antara dua buah negara ini, sebenarnya lebih dituju kepada AS, mereka beri amaran kepada kita bagi menutup perasaan malu mereka.
“Korea Utara tahu kita hanya mengikut perundangan, mereka tiada masalah dengan kita, malah mereka tahu yang sebenarnya mahukan rakyat Korea Utara itu adalah AS, tapi disebabkan kita punca kepada ekstradisi berkenaan, kita pun terima amaran,” katanya.
Mengulas mengenai populasi rakyat Malaysia di Korea Utara, Azmi berkata jumlahnya adalah tidak ramai dan terdiri daripada ahli diplomatik yang bekerja di kedutaan, bukan ahli perniagaan. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN