19 MAC: Kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik dan ahli keluarga mereka di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam mulai hari ini.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, sebentar tadi, tindakan itu diambil kerajaan selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Kenyataan itu memaklumkan, Malaysia mengambil langkah ‘menghantar pulang’ kakitangan dan ahli keluarga diplomatik terbabit sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara, bertujuan melindungi kedaulatan dan memelihara kepentingan negara ini.
“Malaysia sangat menyesali keputusan Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia dan kerajaan mengecamnya sebagai tidak ramah, tidak membina, malah tidak menghormati semangat saling menghormati dan hubungan baik di antara anggota masyarakat antarabangsa.
“Negara ini sudah menganggap Korea Utara sebagai rakan rapat sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 1973, malah Malaysia antara negara terawal berbuat demikian dan sentiasa menyokong republik itu ketika mereka berdepan saat sukar walaupun selepas kejadian pembunuhan Kim Jong Nam pada 2017.
“Dalam hal terbabit, keputusan sebelah pihak dibuat Korea Utara tanpa alasan kukuh sudah tentu mengganggu keamanan, kestabilan dan kemakmuran di wilayah ini,” katanya kenyataan itu.
Selain itu, katanya, Malaysia percaya bahawa pendirian negara ini terhadap perkembangan malang berkenaan akan dihargai dan difahami sepenuhnya rakan Malaysia yang mematuhi prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan mahu hidup berdampingan antara negara.
Keputusan Korea Utara itu juga, katanya, kini memaksa kerajaan menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya ditangguhkan sejak tahun 2017.
Berhubung kes Mun Chol Myong, kenyataan itu berkata, Malaysia sebagai negara yang mendaulatkan undang-undang dan keadilan, memastikan proses ekstradisi rakyat Korea Utara terbabit dibuat mengikut prinsip undang-undang.
Ekstradisi itu, katanya, hanya dilakukan selepas proses perundangan selesai, malah hak Mun Chol Myong ketika dalam tahanan di Malaysia dijamin dan dipenuhi, termasuk aksesnya kepada peguam bela sendiri serta bantuan konsulat dan kunjungan keluarganya.
Mun Chol Myong ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 berdasarkan waran tangkap sementara yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992, berikutan tuduhan konspirasi untuk membubarkan wang dan pengubahan wang haram, selain melanggar Sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana perbuatan itu adalah kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.
Dia muncul di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019 dan mahkamah membenarkan perbicaraan terhadapnya, manakala permohonannya untuk perintah ‘habeas corpus’ di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2019 dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober 2020 ditolak atas alasan tidak berasas serta gagal memenuhi syarat di bawah Akta Ekstradisi.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi ciapan di Twitter rasminya, memaklumkan operasi Kedutaan Malaysia di Pyongyang ditangguhkan sejak 2017 dan semua semua kakitangan diplomatik negara serta keluarga mereka sudah pulang ke tanah air sejak itu. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN