19 MAC: PAS kekal dengan pendirian untuk tidak mengulangi kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tegas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, parti itu mempunyai pengalaman bekerjasama dengan PKR dan tidak akan mengulangi tindakan sama.
Katanya, PAS juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bermatlamat menyelamatkan individu atau kumpulan.
“Kerjasama dengan PKR, DAP, kita berpengalaman sejak 1998, 1999 hingga beberapa tahun, dalam 20 tahun, jadi cukup, jadi biar dia selesaikan masalah mereka.
“Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan selamat dan fokus kita untuk menyelamatkan rakyat serta negara menerusi kerjasama antara UMNO dan BERSATU menerusi PN.
“Kerjasama kita di PN semakin hari semakin kuat dan kerjasama kita yang baharu adalah BERSATU dan UMNO, termasuk rakan-rakan di Sabah dan Sarawak serta parti yang bergabung dengan PN,” katanya
Beliau berkata demikian pada acara penyampaian kuliah secara dalam talian di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Ditanya berhubung kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, terpulang pada Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk berbuat demikian dengan mana-mana parti, termasuk UMNO.
“Itu terpulang pada dia, bukan parti saya kerana kita negara demokrasi dan dia boleh bekerjasama dengan mana-mana parti berdaftar,” katanya.