19 MAC : Seorang wartawan tempatan yang berkhidmat dengan British Broadcasting Corporation (BBC) Myanmar dilaporkan hilang hari ini, ketika orang awam berpusu-pusu meninggalkan Yangon, bandar terbesar negara itu berikutan tindakan keras junta tentera.
Akaun Twitter rasmi BBC hari ini mengeluarkan kenyataan mengenai wartawannya yang hilang, Aung Thura.
Agensi berita yang berpengkalan di Britain itu berkata, kehilangannya berlaku sekitar tengah hari tadi dan Pihaknya sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengesannya.
“Pihak kami telah meminta pihak berkuasa untuk membantu mengesannya dan mengesahkan bahawa dia selamat.
“Kami berasa sangat prihatin terhadap wartawan tempatan Berita BBC, Aung Thura, yang mana dimaklumkan telah dibawa lelaki tidak dikenali,” kata BBC dalam kenyataan itu.
Media tempatan, Mizzima, juga memaklumkan salah seorang wartawannya, Than Htike Aung, ditahan di ibu kota Naypyidaw hari ini, menurut laman Facebook rasminya.
Kedua-dua wartawan itu dilihat bersama ketika mereka ditahan.
Sejak rampasan kuasa, lebih 30 wartawan ditahan, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP).
Antara yang ditahan adalah Thein Zaw, jurufoto dari Associated Press (AP), yang didakwa kerana membangkitkan ketakutan, menyebarkan berita palsu atau mencemaskan pegawai kerajaan secara langsung atau tidak langsung.
Junta juga bertindak ke atas agensi media negara itu dengan membatalkan lesen lima perkhidmatan penyiaran bebas tempatan, menyerbu ruang berita dan menahan wartawan yang sedang membuat liputan.