20 MAC: Beberapa pengunjung cedera selepas sebuah jambatan gantung yang dalam pembinaan di Lata Keding, Jeli, Kelantan, tiba-tiba runtuh dipercayai akibat kapasiti berlebihan.
Dalam kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu, seramai 10 pengunjung yang sedang merakam gambar di jabatan sepanjang 40 meter terbabit terjatuh ke dalam anak sungai.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi peranginan dimiliki pihak persendirian itu selepas dimaklumkan mengenai kejadian terbabit.
“Mengikut maklumat diterima, kira-kira 10 pengunjung berada di atas jambatan gantung setinggi 4.5 meter.
“Secara tiba-tiba, jambatan dalam pembinaan itu runtuh menyebabkan semua mereka terjatuh ke dalam anak sungai dan binaan terbabit turut terkena pengunjung lain yang sedang mandi,” katanya.
Ahmad berkata, notis mengenai pemberitahuan bahawa jambatan itu sedang dalam pembinaan sudah ditampal, namun ada pengunjung yang tidak mengendahkannya mungkin disebabkan teruja dengan kewujudan binaan berkenaan.
Katanya, mangsa yang cedera sudah dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan susulan.