20 MAC: Polis menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan itu susulan satu video tular di media sosial memaparkan Najib tidak melakukan imbasan suhu dan tidak mendaftar MySejahtera ketika masuk ke restoran berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.
“Semua individu terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
“Kertas siasatan berhubung perkara ini akan diserahkan ke pejabat pendakwa raya sebaik siasatan selesai dijalankan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP PKPB kerana kegagalan mereka berbuat demikian akan mengakibatkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Najib menerusi muat naiknya di Facebook, semalam mengakui kesilapan dilakukan itu apabila tidak mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera walaupun pegawainya sudah berbuat demikian.
“Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini.
“Saya akan membayar saman atas kesilapan ini secara sukarela kerana tiada ‘double standard’ dalam istilah saya,” katanya.