20 MAC: Lokasi persembunyian usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat yang menghilangkan diri selepas dikenakan waran tangkap kerana tidak hadir sebutan semula kes di mahkamah berhubung isu menghina Islam sudah dikenal pasti pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata usaha untuk mengesan Nur Sajat di lokasi persembunyiannya sedang giat dilakukan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Setakat ini, kita belum tahan lagi usahawan kosmetik itu. Polis akan bekerjasama dengan JAIS dalam hal ini,” katanya, hari ini.
Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.
Nur Sajat dipercayai bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan mahkamah.