20 MAC: Seorang Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis direman bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan dianggarkan mencecah RM88,000.
Menurut sumber, penahanan lelaki berusia 41 tahun itu dibuat susulan tangkapan tiga pembantu penguatkuasa JPJ negeri pada 16 Mac lalu dan semalam.
“Suspek ini ditahan sehingga esok bagi membantu siasatan menerima rasuah daripada proksi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori melanggar undang-undang.
“Suspek dipercayai menerima suapan dianggarkan sebanyak RM5,000 setiap bulan berdasarkan transaksi proksi berkenaan yang bermula dari tahun 2018 dan 2019.
“Perintah reman selama dua hari ini dikeluarkan Majistret Kamaliza Md Zain di Mahkamah Kangar,” katanya hari ini.
Terdahulu, suspek ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis pada jam 4.40 petang, semalam menerusi Op Sukat SPRM selepas dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Lima individu termasuk seorang orang awam ditahan, setakat ini, bagi membantu siasatan berkenaan kes itu di Perlis.
Pengarah SPRM Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penahanan suspek berkenaan.