21 MAC: Individu yang mahu memasuki Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak lagi perlu melakukan ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan ke negeri itu yang akan berkuat kuasa mulai esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai situasi semasa COVID-19 di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang kini dilihat terkawal.
“Bagaimanapun individu berkenaan masih perlu mengisi maklumat melalui ‘EnterSarawak’ secara dalam talian (https://entersarawak.socoe.co/register) dengan memuat naik dokumen sokongan diperlukan.
“Arahan kuarantin selama 14 hari di Sarawak masih lagi berkuat kuasa,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 Sarawak.
Dalam pada itu, mengenai situasi COVID-19 di Sarawak, Uggah berkata terdapat 154 kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini 13,974 kes.