22 MAC : Angka kes baharu harian COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan penurunan di bawah 2,000 kes sehari apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 1,116 lagi kes baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 1,108 kes tempatan dan dua kes import, menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu meningkat kepada 334, 156
“Selangor terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 403, diikuti Kuala Lumpur 158 kes dan Sarawak 124 kes.
“Selain itu, Perlis pula tiada kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu jumlah kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 1,495 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 318,784 atau 95. 40 peratus daripada keseluruhan kes.
“Namun kes kematian baharu dilaporkan lima kes kematian naik satu kes berbanding semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kini 1,238 kes.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebanyak empat kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 156 orang termasuk 60 yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH