Aktiviti pusat hiburan catat jumlah ingkar SOP paling tinggi
22 MAC: Aktiviti pusat hiburan merekodkan jumlah paling tinggi ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 106 daripada 181 individu ditahan, membabitkan kesalahan itu.
“Kesalahan lain yang direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal dengan 35 kesalahan, gagal menyediakan peralatan merekodkan diri dan pelanggan (24) dan aktiviti perjudian (8).
“Selain itu, seramai lima individu ditahan kerana tidak memakai pelitup muka, manakala rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (2) dan premis beroperasi lebih masa (1),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, daripada 181 yang ditahan, 93 individu dikompaun, 80 direman manakala lapan dijamin.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pihak berkuasa, selain empat bot dan kapal serta lima kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.
“Pihak berkuasa turut mengesan 39 bot dan kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KH