22 MAC: Hujan lebat sepanjang hari yang melanda Tenggara Australia, mengakibatkan banjir buruk dilaporkan di utara Sydney sehingga ribuan penduduk diarahkan berpindah, manakala lebih 200 sekolah ditutup, ketika ini.
Hujan lebat dan banjir semakin teruk di kawasan pesisir New South Wales itu yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
Bencana alam itu berlaku hanya setahun selepas kebakaran akibat perubahan iklim yang belum pernah terjadi sebelumnya di wilayah sama, diikuti kemarau berpanjangan yang menyaksikan Sydney memperkenalkan catuan air.
Pesisir utara New South Wales adalah yang paling teruk terjejas.
Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian, berkata wilayah itu dilanda keadaan berkenaan sekali dalam setiap 100 tahun.
Di Lembah Hawkesbury-Nepean di Sydney, paras air sungai dijangka meningkat ke tahap yang tidak pernah dilihat sejak tahun 1961.
Jangkaan itu dibuat, selepas Empangan Warragamba yang membekalkan sebahagian besar bekalan air bersih Sydney melimpah Sabtu lalu.
Media tempatan mnelaporkan bahawa pegawai perkhidmatan kecemasan memaklumkan, setakat ini 18,000 orang sudah mendapat perintah pemindahan di seluruh negeri dengan 2000 orang masih berada di pusat pemindahan.
Pihak berkuasa memberi amaran mengenai situasi yang boleh mengancam nyawa walaupun setakat ini belum ada laporan kematian atau kecederaan serius.
Selain itu, pegawai memberitahu kepada media Sky News Australia, perkhidmatan kecemasan negeri menerima 8,700 panggilan bantuan sejak krisis bermula dengan lebih 2,000 daripadanya dalam tempoh 24 jam terakhir
Pada masa sama, pihak berkuasa berkaitan pendidikan menyatakan, lebih daripada 200 sekolah ditutup, termasuk beberapa yang mengalami kerosakan dalam banjir.
Biro Meteorologi juga memberi amaran mengenai keadaan berbahaya itu, sebelum menjangkakan cuaca buruk berkenaan mulai reda pada akhir minggu ini.
Rekod taburan hujan dijangka akan terus turun dalam beberapa hari ketika banjir meluas ke barat laut negeri itu dan lebih jauh ke utara ke Queensland.
Pegawai kesihatan berkata, hujan lebat dan banjir akan menangguhkan pemberian suntikan vaksin COVID-19 yang dihentikan sementara di Sydney dan sekitar bandar itu kerana masalah bekalan dan penghantaran.