22 MAC: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tiga tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul dan mengaibkan kehormatan anak gadisnya pada Julai tahun lalu dan Januari tahun ini.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 49 tahun itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Tertuduh yang menyelinap masuk ke dalam mahkamah awal pagi supaya tidak disedari oleh sekumpulan jurugambar dan wartawan kelihatan tenang ketika pertuduhan-pertuduhan itu dibacakan pagi tadi.
Untuk pertuduhan pertama, ahli perniagaan yang memiliki beberapa unit kedai runcit serta pasar raya mini didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan anak perempuannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kosmo Jaya, Sentul, Kuala Luumpur pada 16 Julai tahun lalu, antara jam 1 hingga 2 pagi
Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan bilik tidur di rumah yang sama pada 9 Januari lalu
Bagi dedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa dengan sengaja mengeluarkan perkataan yang mengaibkan kehormatan mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kereta pada 17 Julai tahun lalu, antara jam 12.45 malam hingga 1 pagi.
Timbalan Pendakwa Raya, Md Azahari Abu Hanit memohon supaya wang jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan ke atas tertuduh yang juga dikatakan seorang ahli perniagaan berjaya berdasarkan gaya hidupnya.
“Kita kena lihat juga betapa seriusnya kes ini, tertuduh telah melakukan perbuatan ini terhadap anaknya sendiri.
“Kita juga mohon supaya mahkamah meminta tertuduh menyerahkan pasport dan larangan mengganggu saksi dan mangsa sepanjang tempoh perbicaraan,” katanya
Bgaimanapun, peguam bela, M. Puravelan yang mewakili tertuduh berkata, sehingga kes ini dibawa ke mahkamah, suspek telah memberikan kerjasama cukup baik dan jaminan sebanyak RM100,000 adalah sangat tinggi.
Beliau turut memberikan contoh-contoh kes seumpama itu yang mengenakan jaminan sebanyak RM4,000.
Majistret kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan itu oleh seorang penjamin, sebelum menetapkan 27 April depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Awal bulan ini, media mendedahkan mangsa yang juga seorang penuntut itu mendakwa menjadi mangsa cabul dan gangguan seksual suspek sejak 10 tahun lalu.
Suspek melakukan perbuatan terkutuk itu ke atas mangsa ketika dia berusia 10 tahun dan ia dilakukan di kediaman mereka.
Kerana tidak tahan kerana terus diperlakukan seumpama itu mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis pada 14 Januari lepas.