22 MAC: Bedilan meriam rejim tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad ke atas sebuah hospital, menyebabkan enam orang awam terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak terbunuh.
Kejadian itu turut mengakibatkan seorang kakitangan hospital awam terbabit terbunuh dan mencederakan 11orang.
Pertubuhan Pemantau Untuk Hak-Hak Asasi Manusia Syria melaporkan bedilan itu dibuat di bandar Atareb, Idlib pada Ahad.
Menurut pertubuhan itu, bedilan itu mengenai pintu masuk hospital berkenaan yang terletak di dalam sebuah gua.
Kementerian Pertahanan Turki dalam satu kenyataan seperti dilaporkan sebuah portal Daily Sabah, berkata rejim itu sekali lagi melakukan serangan terhadap orang awam.
“Rejim al-Assad sekali lagi membuat serangan ganas terhadap orang awam yang tidak bersalah,” kata kenyataan itu.
Idlib merupakan satu-satunya wilayah masih dikuasai kumpulan Hayat Tahrir al Sham yang ditubuhkan pada tahun 2017.
Kumpulan itu dianggotai bekas ahli bersekutu Al-Qaeda dan menentang pemerintahan Bashar.
Wilayah bersempadan dengan Turki itu dihuni kira-kira 2.9 juta penduduk, tetapi dua pertiga daripadanya hilang tempat tinggal disebabkan peperangan yang berlaku di Syria bagi menggulingkan pemerintahan al-Assad sejak tahun 2011.
Serangan itu berlaku walaupun terdapat gencatan senjata antara kumpulan penentang pemerintahan al-Assad yang mendapat sokongan Turki itu dengan Rusia sejak Mac tahun lalu.
Gencatan senjata itu dipersetujui antara Turki dan Syria bagi melindungi kawasan tersebut, sekali gus menamatkan kempen pengeboman Moscow bagi membantu kerajaan Syria dalam perang saudara di negara tersebut.
Lebih 388,000 orang terbunuh dan jutaan hilang tempat tinggal sejak perang saudara bagi menyingkirkan al-Assad sebagai Presiden Syria berlaku pada tahun 2011.
Peperangan itu bermula selepas pasukan keselamatan Syria terbabit menggunakan kekerasan bagi menyuraikan tunjuk perasaan anti-Assad di negara berkenaan.