22 MAC: Punca kadar pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih rendah adalah kerana sikap tunggu dan lihat serta tidak maklum mengenai program itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu berlaku dalam masyarakat, terutama membabitkan penduduk di kawasan luar bandar yang mungkin tidak mempunyai akses kepada program terbabit.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK, berkata pihaknya akan mengambil kira semua faktor itu dan memperkasa program komunikasi bagi meningkatkan kadar pendaftaran dari semasa ke semasa.
“Kebanyakannya masih mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mereka mendaftar dan ada di kawasan luar bandar yang tidak tahu langsung mengenai PICK.
“Mereka mahu lihat dulu, apabila sudah lihat keluarga terdekat dapatkan vaksin ini, mereka lagi yakin.
“Saya percaya kadar pendaftaran akan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media, hari ini.