22 MAC: “Tahniah Lee Zii Jia”, tulis Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi muat naik di Facebook, bagi mengucapkan penghargaan di atas kejayaan pemain perseorangan lelaki negara itu menjuarai kejohanan badminton All England, malam tadi.
Beliau berkata, seluruh peminat sukan negara, terutamanya badminton pasti sangat teruja dengan kejayaan itu.
“Kejayaan menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelson memberi makna besar dan suntikan motivasi buat pemain muda negara berusia 23 tahun ini, selepas ditewaskan pemain sama di peringkat separuh akhir kejohanan All England pada tahun lepas.
“Lebih manis Viktor Axelson adalah juara bertahan kejohanan ini,” katanya.
Muhyiddin berkata, diharap Zii Jia menjadikan kejayaan itu sebagai perangsang untuk bekerja lebih keras dan terus cemerlang pada masa hadapan.
“Perjalanan karier anda masih jauh. Tahniah juga kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan barisan kejurulatihan di atas kejayaan ini.
“Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara,” katanya.