23 MAC: Dasar Perhutanan Malaysia tidak mengehadkan hak negeri mengambil tindakan berhubung pengurusan hutan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata perkara itu selaras objektif dan peruntukan dasar terbabit.
Katanya, dasar itu saling melengkapi dan tidak mengurangkan peruntukan dalam mana-mana dasar lain berkaitan pengurusan hutan yang masih berkuat kuasa.
“Pengurusan hutan di negara ini adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Setiap negeri ada kuasa untuk menguruskan perhutanan di negeri masing-masing,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Komited Kekal Hijau’ seperti dilaporkan Bernama, malam tadi.
Shamsul Anuar berkata, justeru, penetapan strategi dan pelan tindakan di bawah dasar itu adalah hak mutlak negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Beliau menegaskan, Dasar Perhutanan Malaysia tidak sesekali mengambil alih kuasa kerajaan negeri dan harus dibaca bersama mana-mana dasar bertulis lain berhubung pengurusan hutan bagi ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan kelmarin, dipersetujui semua kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-78 dan melalui proses rundingan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak 2016.
Berhubung penguatkuasaan dan pemantauan hutan pula, Shamsul Anuar berkata, pihaknya turut berkolaborasi dengan pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memantau kawasan berisiko tinggi membabitkan kes pencerobohan hutan.
Selain pengenalan dasar itu, beliau berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menekankan pengukuhan penggunaan teknologi dalam pengurusan hutan di Malaysia melalui pendigitalan sumber dan operasi hutan.
“Ini termasuk pengembangan aplikasi berteknologi tinggi, pembangunan data dan teknologi geospatial dalam mencegah pencerobohan hutan, perkara ini selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Mengulas mengenai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 pula, Shamsul Anuar berkata, lebih empat juta pokok berjaya ditanam di seluruh negara sejak program itu dilancarkan pada Januari lalu.
Beliau berkata, penanaman itu membabitkan 8,770 hektar kawasan dan 455 spesies pokok, seperti direkodkan melalui aplikasi mudah alih ‘Penghijauan Malaysia’.
“Jumlah ini dijangka meningkat dengan komitmen kementerian dan kerajaan negeri. Saya yakin kita akan mencapai sasaran sebelum tempohnya,” katanya.