23 MAC: Enam orang awam, termasuk seorang anggota polis dilaporkan maut, dalam satu kejadian tembakan rambang di sebuah pasar raya di Boulder, Colorado pada Isnin.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang bertanggungjawab melakukan tembakan terbabit.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan motif di sebalik tindakan itu.
Stesen televisyen yang menyiarkan situasi secara langsung dari luar pasar raya itu,
memaparkan kenderaan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) dengan puluhan anggota polis dilihat memasuki premis perniagaan itu.
Pada masa sama, seorang lelaki tidak berpakaian, bergari dan mengalami pendarahan di kaki dilihat keluar dari pasar raya itu, namun tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan juga adalah suspek kes tersebut.
Gabenor Colorado, Jared Polis menerusi ciapannya di Twitter mengatakan hati beliau luluh melihat kejadian seperti itu berlaku dalam kalangan Komuniti Boulder.
Beberapa saksi mendakwa, seorang lelaki tiba-tiba melepaskan tembakan di dalam pasar raya itu, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung.