23 MAC: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan telah meluluskan Perhimpunan Agong UMNO 2020 yang bermula pada 27 dan 28 Mac ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kelulusan itu diberikan menerusi surat bertarikh 19 Mac lalu dan memgesahkan telah pun mengadakan pertemuan bersama Pengarah MKN Wilayah Persekutuan dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
Menurut beliau, PAU 2020 mencatatkan sejarah tersendiri kerana pertama kali diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di 190 bahagian parti itu di seluruh negara.
“SOP yang berkuatkuasa pada 18 Mac 2021, mengenai PKPB di Kuala Lumpur dan SOP Meetings, Incentives, Conferences & Exihibitions (MICE) yang berkuatkuasa pada tarikh tersebut akan dipatuhi.
“UMNO akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas aplikasi MySejahtera dan sanitasi tangan.
“Bagi tujuan pematuhan SOP, UMNO akan menambah anggota keselamatan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Skuad Sabil,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu pemerhati orang awam dan ahli UMNO yang bukan perwakilan tidak dibenarkan menghadiri PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kali ini.
“Tidak akan ada gerai jualan dan kenderaan saji tidak dibenarkan beroperasi. Berikutan SOP yang ditetapkan, tiada petugas media dibenarkan untuk berada di dalam dewan persidangan. Media boleh membuat liputan di Laman Media secara maya di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC.
“Taklimat kepada petugas media diberikan oleh Pegawai Media Ibu Pejabat UMNO berhubung peraturan yang ditetapkan selaras dengan SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan,” katanya.
PAU akan dimulakan dengan Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Upacara perasmian PAU 2020 diadakan pada Ahad ini di Dewan Merdeka disusuli Ucapan Dasar oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
PAU 2020 adalah perhimpunan yang penting sempena Sambutan Jubli Intan, 75 Tahun UMNO bagi meningkatkan semangat perjuangan.
UMNO akan terus Prihatin Rakyat, Membela dan Membantu Rakyat, menjadi Juara Rakyat dan sentiasa menyuarakan Suara Rakyat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH