23 MAC : Sejumlah pondok kem pelarian warga Rohingya di Cox’s Bazar, tenggara Bangladesh terbakar menyebabkan tujuh orang terbunuh termasuk kanak-kanak dan lebih 50,000 etnik tersebut melarikan diri dari kawasan tersebut.
Insiden kebakaran ini merupakan kali ketiga berlaku dalam tempoh empat hari di mana sebelum ini dua kebakaran berasingan di kem itu berlaku Jumaat lalu sekali gus memusnahkan sejumlah pondok.
Kebakaran itu bermula di satu daripada 34 kem yang terletak dalam kawasan seluas kira-kira 3,237 hektar dan kemudian merebak ke tiga lagi kem sehingga menyebabkan pelarian terpaksa melarikan diri dan membawa barangan yang sempat diselamatkan. Setakat ini punca kebakaran masih belum diketahui.
Hampir satu juta penduduk minoriti Muslim itu dari Myanmar kebanyakannya melarikan diri daripada operasi tentera di negara itu tinggal bersesak-sesak di kem pelarian berkenaan.
Menurut pihak berkuasa Bangladesh, kebakaran itu berjaya dipadamkan tengah malam tadi, bagaimana pun pihak polis setakat ini tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga mayat-mayat mangsa kebakaran ditemui.
Penilaian awal pihak berkuasa tempatan mendapati lebih 900 pondok yang menjadi tempat tinggal untuk 7,400 pelarian itu terbakar.
Dua kebakaran besar turut berlaku di kem itu pada Januari lalu menyebabkan ribuan pelarian hilang tempat tinggal dan empat buat sekolah pertubuhan Dana Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut terbakar.