23 MAC: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in menerima suntikan vaksin AstraZeneca di sebuah klinik komuniti di Seoul, hari ini.
Jae-in, 68, menerima suntikan itu sebagai persiapan lawatan kerja beliau ke United Kingdom sempena persidangan Kumpulan Tujuh Negara (G7) pada Jun ini.
Lawatan itu adalah atas jemputan diterima daripada Perdana Menteri British, Boris Johnson untuk Korea Selatan menghadiri persidangan berkenaan sebagai tetamu.
Menurut satu kenyataan pejabat Presiden, isteri Jae-in dan sembilan pembantu yang akan mengikutinya dalam perjalanan itu, termasuk Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Suh Hoon, turut menerima vaksin berkenaan.
Korea Selatan memulakan program imunisasi COVID-19 negara itu membabitkan warga emas dan petugas kesihatan sebagai penerimanya hari ini.
Hampir 300,000 individu berusia 65 tahun ke atas dan petugas kesihatan di hospital serta rumah penjagaan menerima suntikan.
Agensi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KDCA), memaklumkan sejak kempen program imunisasi di negara itu dimulakan hujung bulan lalu, kira-kira 680,000 individu, termasuk petugas kesihatan sudah divaksin.
Kerajaan negara itu, katanya, menyasarkan pemberian vaksin kepada satu perempat daripada 52 juta penduduk Korea Selatan menjelang Jun ini dan mencapai imuniti kelompok pada November ini.
Malah, menurut KDCA, individu yang menjalankan misi penting, seperti tugas diplomatik atau ketenteraan dibenarkan untuk menerima vaksin bermula bulan ini.
Pesakit dan petugas di fasiliti penjagaan, katanya, turut akan menerima vaksin AstraZeneca dan kira-kira 77 peratus daripada 375,000 individu yang layak, bersetuju menerima suntikan berkenaan.
Semalam, pihak berkuasa menegaskan bahawa tiada bukti risiko kesihatan ditemui dalam vaksin AstraZeneca, walau terdapat laporan mengatakan masalah darah beku dialami penerima vaksin itu di Eropah.
Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Sye-kyun hari ini dilaporkan berkata, beliau bersedia untuk menerima vaksin AstraZeneca jika tindakannya dapat membantu meyakinkan orang ramai untuk menyertai kempen imunisasi COVID-19.
Dalam laporannya, KDCA merekodkan 346 kes baharu COVID-19 di Korea Selatan semalam, menjadikan keseluruhan jangkitan di negara itu sebanyak 99,421 dengan 1,704 kematian.