23 MAC: Tiga kluster baharu direkodkan hari ini yang dilaporkan di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Balakong Jaya Dua dilaporkan di Hulu Langat dan Kuala Selangor, Selangor yang dikesan melalui saringan saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah gudang pasar raya di Jalan Perindustrian Balakong Jaya 2/1, Kawasan Perindustrian Balakong, Seri Kembangan.
“Sehingga hari ini, sejumlah 72 individu telah disaring, di mana 37 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya menerusi kenyataan perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Taman Perindustrian Gemilang, Ulu Tiram, Johor Bahru mengesan 78 kes positif yang membentuk kluster baharu kedua hari ini iaitu Kluster Jalan Indah Gemilang Satu.
Menurut beliau, kluster terakhir yang telah dikenal pasti adalah Kluster Teknologi Bukit Minyak yang melibatkan Kluster tempat kerja ini di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan, dan Barat Daya di Pulau Pinang.
“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 12 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Taman Perindustrian Bukit Minyak, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.
“Sehingga 23 Mac 2021, sejumlah 1,685 individu telah disaring, di mana 98 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.
Sementara itu, tambahan kluster itu menjadikan keseluruhan 1,310 kluster aktif sehingga kini dengan 911 kluster disahkan tamat, manakala jumlah kluster aktif adalah 399 kluster.
Manakala kata Dr Noor Hisham, 15 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Jitu, Kluster Penjara Kepayan, Kluster Perigi, Kluster Bestari Rantau, Kluster Jalan Kubur Darau, Kluster Semarak Bersia dan Kluster Parit Lanjut.
“Selain itu, Kluster Tanah Putih, Kluster Gudang Salak Tinggi, Kluster Jalan Teknologi, Kluster Nanga Lijan, Kluster Univista, Kluster Kidurong Dua, Kluster Lot Tujuh dan Kluster Tapak Bina Lombong Timah turut ditamatkan.
“Sebanyak 54 kluster (daripada kluster aktif) melaporkan pertambahan kes, yang tertinggi adalah Kluster Subang Dua (185 kes), Kluster Jalan Indah Gemilang Satu (73 kes), dan Kluster Tanjung Suria (63 kes),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH