24 MAC: Berita kononnya suspek dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee telah berjaya ditangkap adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan dakwaan tersebut selepas laporan sebuah portal tempatan membabitkan penangkapan individu berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersial.
Menurut beliau, usaha mengesan suspek untuk siasatan sindiket pengubahan wang haram dan kesalahan kumpulan jenayah terancang itu masih diteruskan supaya dia dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Pihak Polis Johor mengesahkan bahawa berita tersebut adalah tidak benar dan palsu.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihahnnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ayob Khan menerusi sidang media Ahad lalu, Polis Johor sedang mencari lelaki berusia 33 tahun yang beralamat terakhir di Puchong, Selangor yang disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta jenayah komersial.
Lelaki yang berpangkat Datuk Seri yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan Kesalahan Kumpulan Jenayah Terancang.
Dua kertas siasatan berkaitan individu itu telah dibuka di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Empat tahun lalu, Nicky Liow pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Rela yang sedang bertugas di Pekarangan Tokong di Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH