24 MAC: Satu pasukan khas akan dihantar ke Sabah bagi membantu pendaftaran penerima vaksin, terutama di pedalaman negeri itu.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya, berkata pasukan dianggotai kakitangan pejabat daerah dan staf Jabatan Kesihatan Sabah itu akan memastikan masyarakat di kawasan terbabit mendaftar sebagai penerima.
“Kita sedar bahawa mungkin di Sabah ada kawasan yang mempunyai liputan internet terhad.
“Justeru, kita gerakkan pasukan kita melalui pejabat daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pihak berkaitan untuk menemui kumpulan sasar ini secara bersemuka dan melakukan pendaftaran manual,” katanya dalam satu kenyataan.
Shahelmey berkata, setakat ini hanya 286,000 individu di negeri itu yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19.
Sabah hari ini, menerima sebanyak 9,040 dos vaksin Sinovac yang tiba di bangunan MASKargo, Kota Kinabalu pada pukul 11.45 pagi, selepas memperoleh 60,840 dos vaksin jenama Pfizer-BioNTech sebelumnya.