24 MAC: Putera Harry dilaporkan menyertai syarikat BetterUp sebagai Ketua Pegawai Impak, menurut satu kenyataan organisasi itu kepada media, CNN Business.
BetterUp adalah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kesihatan mental kepada pelanggan.
“Laman web syarikat itu menyenaraikan Harry sebagai sebahagian daripada pasukan kepimpinannya yang menggambarkan beliau sebagai kemanusiaan, seorang veteran tentera, menyokong kesihatan mental dan ahli alam sekitar.
“Harry menyertai syarikat ini beberapa minggu selepas beliau dan Duchess of Sussex, Meghan Markle, membuat pendedahan mengejutkan dalam rancangan temubual Oprah Winfrey berhubung keputusan mereka meninggalkan istana,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, The Wall Street Journal menjadi media pertama yang melaporkan bahawa Harry menyertai syarikat berkenaan.
Akhbar itu memaklumkan, di BetterUp, Harry berperanan menyediakan input bagi keputusan strategi produk dan sumbangan amal, selain memberikan sokongan secara terbuka mengenai topik berkaitan dengan kesihatan mental.
“Bagaimanapun, BetterUp enggan mengulas berapa jumlah bayaran akan diberi kepada Harry.
“Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BetterUp, Alexi Robichaux juga ada memberitahu kepada The Wall Street Journal bahawa posisi Harry itu adalah peranan dan tugas yang amat bermakna,” katanya.
Sementara itu, Harry menerusi catatan blog syarikat berkata, alasannya menyertai BetterUp adalah beliau mempunyai minat untuk bersama-sama membantu pasukan Robichaux.
“Apa menarik perhatian saya mengenai BetterUp adalah misi syarikat untuk mencungkil potensi individu yang memerlukan inovasi, impak dan integriti walau di mana.
“Saya secara peribadi mendapat manfaat daripada bimbingan disediakan BetterUp dan mendapati bekerja dengan syarikat ini memberikan pengalaman tidak ternilai.
“Malah, saya dipadankan dengan pasukan benar-benar hebat yang memberikan saya nasihat bernas dan perspektif baharu,” katanya.