25 MAC: Aktivis Wanita PKR, Yuslaini Azmi yang mendakwa dirinya dicabul oleh seorang pemimpin politik mengharapkan kes yang dilaporkan beliau itu mendapat pengadilan yang sewajarnya.
Yuslaini juga bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menegakkan keadilan bai membongkar segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan ke atas dirinya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus.
Justeru, beliau tidak mahu isu itu disalahguna dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak yang mana jenayah ini bukan sahaja terjadi di kalangan ahli politik malah orang awam khususnya.
“Saya menolak segala politik kotor yang akan mengeruhkan situasi hanya kerana kami berada dalam blok pembangkang.
“Saya percaya prinsip keadilan itu perlu ditegakkan tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari utara Semenanjung disiasat polis atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai wanita dua minggu lalu, ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman dilaporkan berkata, wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 16 Mac.
Dalam laporan itu, wanita itu mendakwa suspek cuba memegang tangannya namun ditepisnya, dan di dalam kereta suspek kemudiannya, didakwa meraba, menarik bahu pengadu dan memegang tangan wanita itu tetapi ditolak.
Dalam laporan tersebut, wanita itu turut menyatakan suspek mengingatkannya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian berkenaan.
Sementara itu, Yuslaini turut berharap agar siasatan kes tersebut dijalankan tanpa campur tangan mana-mana kuasa politik serta diadili dan disiasat dengan penuh profesional oleh pihak polis.
Beliau berpegang pada prinsip berani kerana benar dan yakin ramai mangsa yang merana dalam senyap tanpa sokongan dan berada dalam keadaan trauma yang sukar diatasi.
“Kes gangguan seksual sebegini harus dibawa ke muka pengadilan untuk mendapat pengadilan yang sewajarnya.
“Wanita tidak boleh dilihat sebagai individu yang lemah dan tidak boleh lagi dipandang sebagai hamba atau kaum kelas dua,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH