25 MAC:“Perbuatan memberi kata dua secara terbuka kepada rakan dalam Muafakat Nasional sangat tidak manis,” kata Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional itu berkata demikian melalui ciapan di Twitter bagi menegur pihak yang meminta PAS memilih bekerjasama dengan UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU-15).
Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu menegaskan, semangat kerjasama antara dua parti itu tidak sewajarnya dirosakkan.
“Bukankah ada Jawatankuas Perunding MN? Kita bersusah payah mendekatkan UMNO dan PAS dengan berhemah dan kebijaksanaan. Usah kita runtuhkan semangat itu dengan cara yang gedebe (samseng). Kita ikat persaudaraan dengan tali Allah,” ciapnya.
Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus, ciapan itu dipercayai merujuk kepada UMNO Kelantan yang menggesa PAS membuat keputusan jelas sama ada mahu bekerjasama dengan parti terbabit atau Bersatu pada PRU Ke-15.
Usul gesaan itu dipersetujui 12 daripada 13 Ketua Umno bahagian yang turut bersetuju supaya parti terbabit memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu.