25 MAC: Operasi mengeluarkan mayat seorang lelaki yang tertimbus dalam sebuah lubang ketika melombong emas secara haram di Gunung Tabai, Bau, Sarawak, pagi tadi berdepan cabaran kerana berlaku batu runtuh.
Misi itu disambung hari ini selepas usaha terbabit sukar dijalankan semalam ketika lokasi mayat ditemukan kerana keadaan terowong yang sempit dan dindingnya rapuh.
Kerja mengeluarkan mangsa yang disambung sejak 8 pagi itu disertai 14 anggota bomba dan penyelamat, empat anggota polis, lapan pegawai Jabatan Hutan Sarawak dan 93 penduduk kampung, manakala Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon turut berada di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Bau, Tawang Lingem, berkata ketika operasi, lubang atau terowong digali mangsa didapati tertimbus sekali lagi pagi ini, justeru bomba terpaksa memanggil abangnya yang membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mayat mangsa semalam untuk mengenal pasti lokasi terowong itu.
Mat Tapa, 25, dari Kampung Bijure di sini, ditemukan pasukan SAR tertimbus di bawah runtuhan batu di gunung kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Dia dipercayai tertimbus di dalam terowong digalinya sendiri dengan tujuan untuk mencari emas di dalam gua itu, manakala dua rakannya yang turut terperangkap dalam celahan batu runtuh berjaya diselamatkan dalam kejadian pagi semalam.
Tawang berkata, lokasi mangsa ditemukan semula selepas dibantu abangnya adalah kira-kira jam 12.10 tengah hari dan tiga anggota yang memasuki terowong berkenaan diarahkan keluar semula kerana tidak yakin dengan kestabilan tanah serta batu di sekitar kawasan itu.
“Gerakan mengeluarkan mayat akan dilakukan jika keadaan diyakini selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, tiga lelaki itu pergi ke Gunung Tabai sejak Selasa lalu untuk melombong emas di dalam gua di kaki gunung dan mereka dikatakan menggali terowong yang dianggarkan sedalam 80 meter.
Gua itu adalah kawasan larangan selepas beberapa insiden kemalangan membabitkan pencari emas berlaku sebelum ini.