25 MAC: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) mengesahkan sebuah bongkah konkrit jatuh daripada sebuah lori di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ampang awal pagi tiada kaitan dengan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Kejadian tersebut menyebabkan lorong tengah di jalan berkenaan terpaksa ditutup beberapa waktu sehingga kerja mengalihkan bongkah konkrit selesai.
Beberapa minit kemudian, SUKE Expressway melaporkan lorong itu telah dibuka semula untuk kegunaan pengguna jalan raya.
“Bongkah konkrit itu jatuh daripada sebuah lori pihak ketiga yang melalui kawasan berkenaan.
“Kerja pengalihan dan pembersihan selesai kurang 30 minit dan keadaan trafik kembali seperti biasa,” katanya Prolintas menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial insiden bongkah konkrit terjatuh dari sebuah lori di lorong tengah MRR2 selepas Hillview menghala ke Ampang kira-kira 7 pagi.
Menerusi Twitter, SUKE Expressway berkata kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE).
“#SUKE #INFOTRAFIK Satu bongkah konkrit telah jatuh dari sebuah lori (bukan dari projek SUKE) di lorong tengah #MRR2 selepas Hillview arah ke Ampang. Patuhi arahan petugas trafik di lokasi,” tulis SUKE Expressway menerusi Twitter miliknya, hari ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH