25 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjangkakan proses pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangkakan boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata perkara berkenaan hanya boleh dilaksanakan selepas SPR menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal.
Abdul Ghani menjelaskan berdasarkan kepada rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.
“Daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang. Manakala 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.
“Justeru, SPR menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas ini untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui Portal SPR pada bulan Ogos 2021, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.
Terdahulu, Abdul Ghani berkata SPR memang komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.
“SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan
sewajarnya. Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi Kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapanpersiapan lain yang berkaitan dengannya.
“Bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” katanya.