25 MAC: Polis Johor mengenal pasti beberapa lokasi penting dan sensitif yang mempunyai kaitan dengan Korea Utara di negeri itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata lokasi itu tidak boleh didedahkan, namun polis sentiasa memantau kawasan terbabit.
“Itu adalah satu pemantauan berterusan yang kita jalankan dengan bantuan pihak Cawangan Khas (SB).
“Lokasi penting yang ada berkaitan dengan Korea Utara ini kita akan pantau, akan tingkatkan lagi kawalan keselamatan di lokasi sasaran.
“Secara umum itu saja yang dapat saya kongsi. Memang ada lokasi penting kita pantau, tetapi saya tidak boleh berkongsi lebih lanjut kerana ini sasaran penting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Ayob Khan mengulas arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengarahkan Ketua Polis Negeri meningkatkan pemantauan di kawasan tertentu susulan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, baru-baru ini.
Korea Utara pada 19 Mac lalu, memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi pertuduhan kes pengubahan wang haram.
Susulan keputusan itu, Malaysia mengarahkan semua kakitangan diplomatik dan ahli keluarga mereka di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam mulai tarikh sama.
Menurut satu kenyataan kementerian luar Korea Utara seperti disiarkan agensi beritanya KCNA, Malaysia dianggap sudah melakukan ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ dan menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke AS secara paksaan.
Yu-Song sebelum berlepas pulang ke negara itu berkata, pihak berkuasa Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan akan menanggung semua akibat daripada tindakan terbabit, sehingga terjejasnya hubungan dua hala.