25 MAC: Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) diharap mampu menyerlahkan kestabilan di setiap peringkat berlandaskan semangat kebersamaan, kesetiaan kepada parti dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata itu kerana kestabilan secara berterusan mampu mempertahankan agenda kesatuan Melayu-Islam dan komitmen membela kaum lain yang diperjuangkan di negara ini, sekali gus dapat melakar masa depan Malaysia lebih gemilang.
PAU 2020, katanya, menjadi medan kritikal kepada akar umbi berbicara secara telus dan ikhlas mengenai perkara berkaitan dengan kelangsungan serta masa depan parti.
“Kestabilan ini penting sekiranya kita mahu UMNO diyakini sebagai institusi terbaik untuk memimpin negara dan dilihat parti yang ikhlas dalam mempertahankan agenda kesatuan Melayu-Islam.
“Pada masa sama, kestabilan juga yang menentukan jatuh bangun UMNO dalam pilihan raya akan datang.
“Malah kestabilan ini boleh ditawarkan UMNO kepada rakyat berasaskan pengalaman yang panjang dimiliki parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, justeru, beliau berharap semua perwakilan mengadakan perbincangan secara penuh hemah dan bijaksana, selain meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta pucuk pimpinan parti.
“Marilah kita bersama berganding usaha dan memanjatkan doa supaya PAU 2020 pada hujung minggu ini dapat membawa seluruh kebaikan kepada parti,” katanya. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN