25 MAC: Selangor menjadi negeri teramai positif COVID-19 dengan jumlah kumulatifnya melebihi 113,700 kes iaitu Selangor lebih satu kali ganda daripada yang dilaporkan di dua negeri lain.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan Selangor mencatatkan 113,780 kes sehingga kini, diikuti Sabah dengan 54,470 kes dan Johor 40,525 kes.
Dr Noor Hisham berkata ini diikuti dengan Kuala Lumpur: 37,440 kes; Negeri Sembilan (17,115 kes); Pulau Pinang: 15,037 kes; Sarawak: 14,963 kes; Perak: 12,826 kes; Kedah: 8,261 kes; Melaka: 6,427 kes dan Kelantan: 6,427 kes.
Katanya, negeri Pahang pula mencatat jumlah terkumpul, 4,141 kes; Terengganu: 3,577 kes; Labuan: 2,305 kes; Putrajaya: 1,133 kes dan Perlis: 326 kes.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 356 kes (26.2 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 210 kes (59.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 308 kes (22.6 peratus) dan Johor sebanyak 129 kes (9.5 peratus).
“Sebanyak 62 kes (4.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (27 kes), Kluster Telok Mas (20 kes), Kluster Tembok Muhasabah (12 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes), dan Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata KKM juga mengesahkan sebanyak 1,491 kes dilaporkan sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya 322,416 kes.
Beliau berkata daripada 1,360 kes baru positif hari ini 1,359 adalah membabitkan jangkitan tempatan manakala satu kes import.
“Seramai 157 kes pula dilaporkan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 72 memerlukan bantuan pernafasan.
“Kes-kes kematian pada hari ini pula melibatkan dua (2) kes di Sarawak. Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.