25 MAC : Seorang wanita di Florida, Amerika Syarikat, Edith Riddle ditahan polis selepas wanita itu didakwa menumbuk seorang pelajar sekolah di Daerah Duval menggunakan sarung tangan tinju.
Kejadian tersebut berlaku di Sekolah Menengah Dupont di mana Riddle didapati terlibat dalam pergaduhan bersama mangsa yang berusia 12 tahun.
Pihak sekolah kemudiannya segera membuat laporan polis dan sebaik tiba di lokasi kejadian, wanita berusia 34 tahun itu kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa tersebut.
Sebelum itu, Riddle dikatakan baru selesai bermesyuarat dengan penolong pengetua sekolah tersebut.
Punca pergaduhan berlaku apabila anak Riddle meluru ke arah mangsa yang berada di kafeteria dan bertindak menolak mangsa sebelum ibunya turut terlibat dalam pergaduhan tersebut.
Saksi memaklumkan kepada polis bahawa mangsa yang berusia 12 tahun itu telah ditolak ke lantai sebelum wanita itu bertindak memukul mangsa yang sedang terbaring.
Malah, saksi turut mendakwa Riddle memakai sarung tangan tinju di tangan kirinya. Riddle dikatakan telah memakai sarung tangan tinju itu sejak memasuki sekolah tersebut.
Ibu bapa mangsa memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan dengan pendakwaan jenayah terhadap suspek.