10,055 warga asing disahkan positif COVID-19
21 FEB: Seramai 2,990 warga asing di negara ini menjalani ujian saringan semalam dengan 21 individu disahkan positif COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan sehingga semalam, seramai 654,071 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 yang membabitkan 33,948 majikan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,055 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 644,016 lagi adalah negatif.
“Sehingga kini juga, sebanyak 1,537 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya menerusi kenyataan harian laporan COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 54 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 53 individu dikompaun manakala seorang orang pula direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (25), tidak memakai pelitup muka (17), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (6), tiada penjarakan fizikal (5) dan lain-lain (1),” katanya.
Sementara itu, berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas dua buah kenderaan darat dan dua buah bot.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan dua buah bot/kapal di perairan negara serta sebuah kenderaan darat melalui dua (2) aktiviti penglihatan. Seramai sembilan orang PATI turut diusir melalui tiga aktiviti pengusiran,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 153,934 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 78 hotel dan sembilan institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
“Semalam, seramai 820 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
“Setakat ini, seramai 6,414 individu telah dikuarantin dan 146,381 orang dibenarkan pulang manakala 1,139 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH