26 MAC: Tindakan seorang guru mencampak seorang kanak-kanak yang juga anak muridnya ketika sesi pembelajaran yang videonya tular di media sosial membawa padah apabila dia dipanggil polis untuk direkod keterangan hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, wanita itu dipanggil selepas menerima laporan daripada ibu kepada pelajar itu.
“Saya sahkan laporan polis telah dibuat oleh ibu kanak-kanak tersebut dan kes dalam siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Baharudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, jika disabit dengan kesalahan, guru itu boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Video berdurasi 10 saat yang tukar di media sosial itu memaparkan guru wanita itu mengangkat mangsa sebelum mencampak kanak-kanak itu ke lantai.
Aksi itu turut diperhatikan murid-murid lain.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah tadika swasta di Jalan Kebun, Klang.