26 MAC: Walaupun dilaksanakan secara maya, ribuan pencari kerja tidak melepaskan peluang bagi merebut tawaran dan peluang pekerjaan yang ditawarkan melalui Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021.
Sebanyak 8,694 kekosongan jawatan daripada lebih 26 majikan di sektor perladangan dan industri komoditi telah ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi karvinal tersebut, yang diadakan pada 9 Mac lalu.
Walaupun karnival tersebut telah berakhir, namum Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi kenyataan memaklumkan sesi temu duga masih berjalan dan akan dilanjutkan selama sebulan.
“Hasil daripada sesi temu duga secara dalam talian tersebut, sehingga kini seramai 76 peserta berjaya ditawarkan pekerjaan di syarikat perladangan terkenal di negara ini.
“Seramai 44 calon bakal bekerja di Sime Darby Plantation, Felcra Berhad (19 orang), TH Plantation Berhad (9) dan masing-masing dua dengan BOH Plantation Berhad dan United Malacca Berhad,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, karnival kerjaya yang julung kali dianjurkan membabitkan sektor perladangan dan komoditi itu diadakan dengan pelbagai pengisian bagi menarik lebih ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran pandemik COVID-19.
Karnival itu juga telah dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Antara pengisian lain karnival berkenaan ialah sesi taklimat berhubung PenjanaKerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta Webinar ‘Peluang Kerjaya di Sektor Agrikomoditi’ dan kemuncaknya adalah sesi temu duga secara dalam talian yang diadakan pada hari kedua karnival.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, KPPK menyatakan penganjuran karnival seumpama ini akan diteruskan lagi di masa hadapan bagi memastikan lebih ramai rakyat tempatan terlibat dalam pekerjaan dalam sektor agrikomoditi.
“KPPK mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya memperoleh pekerjaan menerusi karnival kerjaya ini.
“Bagi yang tidak berjaya diharapkan akan terus memohon melalui portal MyFutureJobs yang terus menawarkan banyak peluang pekerjaan di pelbagai sektor termasuklah di sektor agrikomoditi,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH