26 MAC: Lebih banyak peluang pendapatan akan diwujudkan oleh kerajaan kepada usahawan wanita khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dalam memberi sokongan kepada golongan itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kerajaan menyedari bahawa wanita yang diperkasakan secara kewangan adalah amat penting untuk pembangunan negara dan ekonomi.
“Era digitalisasi ini akan membuka peluang untuk kita menjadikan komitmen ini suatu realiti.
“Saya gembira melihat komitmen tenaga sumber daya Maxis untuk menyokong usahawan wanita melalui eKelas Usahawan,” katanya ketika berucap merasmikan program eKelas Usahawandi di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Rina juga mengharapkan agar wanita menceburi dalam bidang keusahawanan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Tambah beliau, mereka perlu berani menceburinya khususnya kepada wanita yang terkesan khususnya buat yang hilang pekerjaan di samping memerlukan pendapatan untuk menyara keluarga.
“Jadi dengan adanya program sebegini mereka dapat menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan rumah mereka melalui komitmen dan usaha daripada suri rumah.
“Saya lihat usaha Maxis menjalankan bengkel pemasaran digital ini satu inisiatif yang sangat baik, jadi saya teruja dengan program ini yang membantu wanita melalui inovasi sosial dan kebajikan produktif,” katanya.
Justeru itu, Rina juga berharap kerajaan akan terus mengikut rapat agar program ini dapat dilaksanakan terus kepada rakyat agar ramai dapat keluar daripada kemiskinan dengan ‘From Zero to Heroin’.
Program tersebut turut dihadiri Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, serta Ketua Pegawai Eksekutif, Gokhan Ogut.
Sementara itu, Gokhan berkata, projek tersebut untuk memperkasakan usahawan wanita daripada masyarakat luar bandar dengan memperluaskan penggunaan digital.
Beliau berkata, program tersebut merangkumi bengkel pemasaran digital menerusi pendekatan praktikal yang melengkapkan peserta dengan alat dan kemahiran digital yang mampu mengembangkan perniagaan dan pendapatan mereka.
“Inisiatif ini didorong oleh semangat untuk menyokong pendidikan dan tujuan Maxis dalam membawa teknologi terbaik membantu rakyat untuk terus menerajui dunia yang maju.
“Kami akan terus mengembangkan usaha untuk terus menyokong komuniti dan mendorong penggunaan digital terutama dalam kalangan usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.