26 MAC: PAS kekal dengan pendirian mahu memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), biarpun UMNO dikatakan bersedia untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan terpulang kepada UMNO jika mereka memilih untuk bergerak solo pada PRU-15 nanti.
“Itu kena tanya UMNO, terpulang kepada dia (UMNO) tetapi kita (PAS) tetap bersama PN dan MN.
“Kita menuju ke arah pertandingan dua penjuru pada PRU-15 dan tidak mahu rakyat berpecah banyak.
“Kita mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang adil dan kuat kerana kerajaan hari ini mendapat majoriti mudah. Kita memerlukan majoriti besar.
“Kalau mendapat majoriti besar sekalipun tetapi tidak adil dan hanya mahu mengekalkan kuasa, juga tiada ertinya. Ini kerana kekuatan kita bergantung pada keadilan terhadap rakyat, bukan kerana mendapat kuasa hingga bila-bila,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Abdul Hadi mengulas laporan media mengenai kesediaan UMNO untuk bergerak solo jika PAS memilih untuk tidak bersama parti itu pada PRU-15.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dipetik sebagai berkata rundingan pembahagian kerusi dengan PAS masih berjalan dan belum muktamad, setakat ini.
Ditanya mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia untuk bergabung dengan parti politik lain jika Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) tidak sempat didaftarkan menjelang PRU-15, Abdul Hadi berkata, PEJUANG bebas untuk berbuat sedemikian.
“Bagi PAS, kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti. Cuma, keutamaan kita yang pertama ialah kepimpinan Islam dan kedua, tidak fanatik serta tidak ekstrem,” katanya.
Ditanya pendirian sekiranya PEJUANG memilih PAS untuk bekerjasama pula, beliau menjelaskan, perkara itu hanya akan dipertimbangkan apabila ia berlaku