27 MAC: Sebanyak 180 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menzahirkan komitmen bagi memastikan akses dilakukan secara saksama terhadap vaksin COVID-19.
Menurut kenyataan organisasi itu, PBB dan negara itu amat bimbang kerana pengagihan vaksin COVID-19 masih tidak seimbang di seluruh dunia, sama ada antara negara mahupun di dalam sesebuah negara itu sendiri.
“Perkara ini terjadi walaupun sudah ada deklarasi umum, inisiatif dan perjanjian antarabangsa dilakukan,” katanya.
Katanya, negara penandatangan deklarasi itu yang dimulakan Lebanon menegaskan, terdapat banyak negara masih belum mempunyai akses terhadap vaksin terbabit.
Justeru, katanya, negara itu menekankan bahawa kerjasama pelbagai hala dan solidariti global adalah perlu bagi meningkatkan pengeluaran serta pengagihan vaksin di peringkat serantau, malah antarabangsa.
Kenyataan itu berkata, menurut deklarasi berkenaan juga, inisiatif COVAX yang disokong PBB dengan tujuan membantu negara miskin mendapat bekalan vaksin COVID-19 adalah kaedah berkesan bagi memastikan ‘akses adil untuk semua.’
“Semua negara berkemampuan amat digalakkan untuk berkongsi bekalan vaksin dengan negara miskin, berpendapatan sederhana dan memerlukan.
“Setakat semalam, dokumen itu belum mendapat sokongan daripada sebilangan negara, termasuk Korea Utara, Myanmar, Benin, Burundi, Republik Afrika Tengah, Sudan Selatan, Syria dan Seychelles, malah Vatican dan Palestin yang memegang status sebagai negara pemerhati, juga belum menandatangani deklarasi berkenaan,” katanya.