27 MAC: Seramai kira-kira 32 orang maut, manakala 165 orang cedera apabila dua buah kereta api bertembung akibat tergelincir di atas saluran air di bandar Sohag, Mesir, semalam.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, lebih 100 buah ambulans digegaskan ke tempat kejadian untuk membawa mangsa ke hospital.
Kereta api penumpang itu dilaporkan dalam perjalanan ke pelabuhan dekat Iskandariah di utara Mesir.
Sumber keselamatan pula dilaporkan kepada Reuters, kereta api terbabit bertembung dengan kelajuan tidak terlalu tinggi yang menyebabkan dua gerabak rosak teruk dan satu gerabak terbalik.
Pejabat Pendakwa Raya Mesir mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Mesir mempunyai satu daripada rangkaian kereta api tertua dan terbesar di rantau dunia serta kemalangan yang menyebabkan kematian didakwa kerap berlaku.
Pengurusan kereta api Mesir memiliki sejarah kemalangan terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang disebabkan penyelenggaraan teruk.
Satu daripada kemalangan terburuk adalah pada tahun 2002 yang menyebabkan 373 penumpang terbunuh apabila api meletus dalam kereta api yang sesak di selatan Kaherah.
Pada Mac 2020 pula, 13 penumpang dilaporkan cedera apabila dua kereta api penumpang berlanggar di Kaherah yang menyebabkan penangguhan perkhidmatan kereta api di negara itu.
Sementara itu, dua pesawat membawa 52 doktor yang kebanyakannya pakar bedah dihantar ke lokasi kejadian.
Pihak berkuasa kereta api Mesir mendakwa kejadian itu berlaku apabila terdapat individu disyaki mengaktifkan brek kecemasan yang menyebabkan dua gerabak bertembung sebelum tergelincir dan terbalik.
Namun, Perdana Menteri Mesir, Mustafa Madbouly memaklumkan, punca kejadian masih belum diketahui.
Katanya, Presiden Mesir, Abdel-Fattah el-Sissi Sudah mengarahkan siasatan dimulakan segera bagi mencari punca nahas berkenaan.
“Beliau mengarahkan penubuhan jawatankuasa teknikal dan pemantauan yang sudah memulakan tugas,” katanya.