27 MAC: Kebenaran pergerakan merentas negeri sempena sambutan Aidilfitri nanti sedang diteliti kerajaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pengumuman berhubung perkara itu bakal dibuat sebaik semua data berkaitan dianalisis Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Buat masa ini rentas negeri untuk Aidilfitri kerajaan masih belum dapat beri jawapan lagi.
“Kita akan teliti dan diumumkan apabila tiba masanya nanti,” katanya ketika program bersarapan pagi bersama masyarakat di Warung Noorizwan, Felcra Bukit Kepong, Pagoh, Muar, Johor hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin dilaporan Bernama turut merasmikan premis dan trak makanan Fani Soy, milik sebuah syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera yang mengeluarkan produk berasaskan kacang soya di FELCRA Bukit Kepong di Labis.
Ketibaan Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di FN Maju Enterprise pada kira-kira jam 9 pagi disambut pemilik syarikat itu, Noraini Ismail dan suami, Mohd Fazri Mohd Saimi.
Muhyiddin dan Noorainee kemudian diberikan penerangan mengenai operasi syarikat, selain mencuba satu daripada produk keluaran syarikat berkenaan, iaitu tau fu fa berperisa pandan.
Yang turut hadir pada acara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Shahruddin Jamal.
Muhyiddin meluangkan masa kira-kira 20 minit di situ sebelum menghadiri program sarapan pagi bersama masyarakat FELCRA Bukit Kepong.