27 MAC : Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu disyaki terbabit dalam penderaan dan penganiayaan kanak-kanak.
Beliau berkata, perbuatan itu adalah kesalahan jenayah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius video tular di media sosial berhubung kejadian seorang pendidik disyaki melakukan penderaan kepada kanak-kanak di sebuah tadika.
“Justeru, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak disyaki melakukan kesalahan membabitkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan PAWE (Pusat Aktiviti Warga Emas) Baharu Zon Tengah 2021, hari ini.
Semalam, tular kilp video berdurasi 10 saat memaparkan seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan murid tadika lain, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya sudah memanggil guru terbabit bagi memberikan keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sementara itu, KPWKM akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus tadika.
“Kita meminta orang ramai melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan terhadap kanak-kanak kepada pihak berkuasa atau menghubungi Talian Kasih 15999 dan talian WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam sehari,” katanya.