27 MAC: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini menganjurkan Program Gunting Rambut Percuma yang disasarkan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pelajar sekolah di seluruh negara.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, program julung kali dianjurkan itu, bertujuan membantu ibu bapa membuat persediaan untuk anak mereka memulakan persekolahan pada 4 dan 5 April ini.
“KPLB melalui GiatMARA akan melaksanakan program ini di seluruh negara bermula hari ini sehingga 4 April depan.
“Dijangka 10,000 pelajar di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada program ini.
“Senarai pelajar akan disediakan KPM dan pihak GiatMARA menyediakan 300 penggunting rambut berkemahiran dalam komuniti pelatih pusat ini di seluruh negara,” katanya.
Mohd Radzi berkata, program itu juga adalah kerjasama pertama di antara dua kementerian.
“Program ini dapat memberi peluang kepada pelatih GiatMARA memperkukuhkan kemahiran menggunting rambut untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Gunting Rambut Percuma Untuk Murid dan Ramah Mesra Menteri Kanan Pendidikan di Dewan Orang Ramai Renggam, Kluang, Johor hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Jabar Azman Jaafar.
Sementara itu, katanya, KPM memperuntukkan kira-kira RM1.4 juta sebagai dana bantuan bagi penyelenggaraan 34 sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di Parlimen Simpang Renggam.