27 MAC: Pendigitalan bidang pendidikan perlu disegerakan bagi memudahkan guru, pelajar dan ibu bapa menempuh alam persekolahan pada waktu tidak menentu, terutama ketika penularan wabak COVID-19,
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kementerian Pendidikan menerusi Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, sudah diminta menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Khas Pendigitalan Pendidikan Negara bagi tujuan berkenaan.
Katanya, pendigitalan pendidikan perlu dilakukan secara menyeluruh, termasuk menyediakan capaian internet baik, terutama di kawasan luar bandar, selain menyediakan peralatan dan alat peranti, seperti komputer riba serta tablet susulan wabak COVID-19 yang menjejaskan sistem persekolahan.
“Usaha meningkatkan bidang pendidikan supaya setaraf atau lebih baik daripada negara maju tidak dapat dielak, termasuk mengupayakan pelajar dan guru dengan kemudahan serta alatan yang membolehkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dibuat di mana sahaja.
“Ini bermakna sistem pendidikan negara kita mesti menuju ke arah sistem pendidikan digital dengan perkakasan dan perisian, terutama tenaga pengajar dan kandungan terbaik serta berkualiti supaya anak kita dapat belajar dalam apa situasi pun, termasuk tidak perlu ke sekolah.
“Mungkin kita boleh menyelesaikan sebahagian daripadanya (pendigitalan pendidikan) dalam tempoh tak terlalu panjang untuk membolehkan sekolah, rumah dan premis lain, termasuk kedai menggunakan sistem teknologi maklumat dengan kesalinghubungan internet tahap tinggi, seperti ketika saya lancarkan MyDIGITAL sebelum ini bagi menaik taraf kemudahan digital negara termasuk capaian internet kepada 5G,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jom ke Sekolah Parlimen Pagoh dan DUN Gambir di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Muhyiddin berkata, kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menyatakan kesediaan membantu sektor pendidikan negara ke arah pendigitalan.
Katanya, beliau memaklumkan mengenai rancangan pendigitalan pendidikan negara kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan ketika lawatan rasmi ke negara berkenaan, baru-baru ini.
“Apabila saya terangkan kepada Putera Mahkota mengenai cadangan itu, baginda menyatakan perkara itu ‘beres’ (diuruskan).
“Saya ada bertanya apakah maksud ‘beres’, seperti dinyatakan baginda sebelum Putera Mahkota memaklumkan UAE mungkin akan bantu kita menyegerakan pendigitalan pendidikan itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.