Oleh Hafiz Hamzah
Hari ini dan esok, berlangsungnya sebuah perhimpunan parti politik Melayu antara yang tertua di negara ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau lebih dikenali dengan UMNO.
Perhimpunan ini mahu tidak mahu, mencuri perhatian rakyat, khususnya orang Melayu tentang apa perkembangan, pandangan dan keputusan yang bakal dibuat oleh parti terbesar orang Melayu yang ada di tanahair sedia kala ini.
Sudah tentu, ianya berbolak balik kepada persoalan tentang perpaduan parti-parti Melayu yang sedang hangat diperkatakan, terutama tentang hubungan UMNO dan BERSATU yang dilihat seolah-olah retak menanti belah.
Dalam soal ini, penulis berpandangan UMNO sebagai sebuah parti yang mewakili suara orang Melayu tidak harus hanya mendengar suara dan hasrat akar umbi parti sahaja, tetapi mesti turut mendengar suara dan hasrat orang Melayu terbanyak di negara ini.
Ini kerana, orang Melayu terbanyak inilah yang sebenarnya mencorak dan menentukan untung nasib serta masa depan UMNO dalam persada politik tanahair.
Seperti kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, orang Melayu yang berparti hanyalah kira-kira empat juta sahaja berbanding berbelas-belas juta lagi orang Melayu yang tidak berparti.
Perlu diingat, orang-orang Melayu yang tidak berparti inilah yang memberikan kemenangan kepada UMNO selama lebih 60 tahun untuk mentadbir dan memerintah di negara ini.
Justeru, UMNO dan pemimpin haruslah kembalikan parti ini untuk mendengar suara dan hasrat akar umbi orang Melayu terbanyak.
Suara dan hasrat akar umbi orang Melayu berhubung perpaduan parti Melayu adalah lebih besar daripada isu KWSP dan Morotarium yang diperjuangkan UMNO sebelum ini.
Pemimpin dan perwakilan UMNO harus sedar bahawa berjuta-juta orang Melayu yang tidak berparti berkehendakkan kepada penyatuan dan perpaduan parti-parti politik Melayu supaya kuasa politik Melayu kuat.
Jika kuasa politik Melayu yang mengatur dasar dan undang-undang di negara ini, maka kestabilan negara akan lebih baik dan terjaga untuk semua bangsa dan penganut agama.
Jadi, sekiranya UMNO membuat keputusan untuk memutuskan perhubungan dengan BERSATU dengan hanya mendengar beberapa kerat suara ahli perwakilan yang belum tentu membawa suara dan hasrat terbanyak akar umbi ahli parti dan orang Melayu, maka kesilapan seperti itu boleh menjejaskan masa depan parti itu di mata orang Melayu.
UMNO harus sedar, bahawa situasi politik dominan yang pernah dikecapi oleh parti itu sebelum ini sudah berakhir. Kini parti Melayu bercambah dan bertambah. Orang Melayu terbanyak, yang berbelas juta jumlahnya itu mempunyai pilihan untuk mengundi parti Melayu selain daripada UMNO.
Mereka pernah melakukannya sekali dalam PRU ke 14 sebelum ini dan tidak mustahil mereka boleh melakukannya sekali lagi.
Sehubungan itu, esok akan menjadi titik tolak perjalanan politik baharu buat UMNO sekiranya parti itu memutuskan dengan muktamad bahawa tiada lagi kerjasamanya dengan BERSATU.
Keputusan esok juga sebenarnya bakal jadi penentu hubungan UMNO dengan PAS pada PRU-15 di masa akan datang.
Dan sekiranya UMNO memutuskan untuk berpecah dan menarik diri dari perpaduan parti-parti Melayu yang dihasratkan oleh jutaan orang Melayu yang tidak berparti, maka dibimbangi kelak UMNO tidak lagi akan menjadi parti terbesar yang mewakili suara orang Melayu lagi.