28 MAC: Tragedi berdarah di Myanmar yang menyaksikan ratusan individu, termasuk kanak-kanak terbunuh selepas junta melepaskan tembakan kepada kumpulan penunjuk perasaan, melahirkan ‘rasa benci’ dunia yang mengutuk kejadian itu.
Menurut laporan media Myanmar Now, dalam pertempuran penunjuk perasaan dengan tentera ketika sambutan Hari Angkatan Tentera, semalam itu lebih 141 orang mati ditembak di 44 bandar, merangkumi 15 wilayah.
Angka korban keseluruhan penunjuk perasaan anti rampasan kuasa sejak 1 Februari lalu, dilaporkan meningkat dan sehingga kini mencatatkan 423 orang.
Keadaan di Myanmar semakin buruk selepas Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi ditahan sehingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besar bagi menuntut demokrasi dikembalikan.
Berikutan situasi itu, Menteri Pertahanan dalam kalangan 12 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia hari ini, bersepakat mengutuk rejim junta kerana menggunakan tekanan yang membawa maut terhadap orang awam.
Menerusi satu kenyataan bersama mereka, tentera profesional disifatkan perlu mematuhi piawaian antarabangsa.
“Seorang tentera profesional mesti berkelakuan dan bertanggungjawab untuk melindungi dan tidak membahayakan orang awam yang sepatutnya mereka berkhidmat.
“Kami mendesak Angkatan Tentera Myanmar supaya menghentikan kekerasan, selain berusaha mengembalikan rasa hormat dan kewibawaan terhadap rakyat Myanmar yang sudah hilang melalui tindakannya,” katanya.
Susulan tragedi berdarah itu, orang awam yang mahu berkabung dijangka keluar untuk proses pengebumian di seluruh negara hari ini.
Badan pemantau tempatan, Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) pula memaklumkan siri keganasan semakin melarat apabila tentera menggunakan peluru hidup di 40 bandar.
AAPP, katanya, menempelak tindakan rejim tentera sebagai tidak berperikemanusiaan kerana melepaskan tembakan menggunakan mesingan sehingga membunuh sekurang-kurangnya 90 orang ke arah kawasan perumahan, selain mengakibatkan orang awam, termasuk enam kanak-kanak berusia sepuluh sehingga 16 tahun maut.
“Fakta menunjukkan tindakan rejim tentera mensasarkan kanak-kanak adalah tidak berperikemanusiaan.
“Di bandar Kyeikhto di Mon, Myanmar, seorang wartawan didakwa turut ditembak dengan peluru hidup dan mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya.